ASSALAMUALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA

Monday 4 March 2013

Bahasa Jiwa Bangsa




Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada pengunjung blog sekalian...

Hari ini adalah hari yang agak panjang buat diriku sebagai seorang mahasiswi. Hal ini demikian kerana, kelas aku sangat padat dari pukul 8.00 pagi hingga 1.00 petang tanpa ada ruang untuk aku menjamah makanan. Namun begitu, aku tetap gagah memikul tanggungjawab sebagai seorang mahasiswi merangkap seorang anak. Dalam satu kuliah yang aku ikuti hari ini, aku disoal mengenai “apa yang aku rasa jika melihat perkataan yang salah dipaparkan umum untuk tontonan ramai?”. Tiba-tiba aku berasa semangat untuk menjawab soalan tersebut. Aku menjawab soalan tersebut dengan berhemah dan memberi contoh yang paling jelas dilihat aku sendiri. Contohnya, aku memberi jawapan tentang perkara yang aku tidak puas hati iaitu perkataan “perabut” yang disalah eja. Ejaan yang betul ialah “perabot”. Ejaan salah tersebut menjadi satu simbol untuk tontonan umum tidak kira kanak-kanak, remaja, dewasa mahupun golongan tua. Hal ini sangat sensitif  bagi diriku. Simbol tersebut akan memberi pengaruh besar kepada kanak-kanak amnya yang sedang belajar mengenal huruf dan perkataan. Pengaruh yang dimaksudkan adalah memnyebabkan kanak-kanak mengeja perkataan tersebut dengan ejaan yang salah. Ikutkan rasa hati aku berasa ingin menyaman sahaja orang yang sepatutnya bertanggungjawab ke atas perkara tersebut. Justeru aku sangat berharap agar pihak yang bertanggungjawab sedar akan kesalahan dan memperbetul ejaan tersebut.

ULASAN:
 Bahasa jiwa bangsa. Bahasa mencerminkan bangsa. Menurut kamus dewan edisi keempat (2010), bahasa ialah lambang bunyi suara yang dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia (antara seorang individu dengan individu yang lain dan sebagainya). Perkara yang ingin dijelaskan dalam situasi di atas ialah bahasa. Perkataan "perabut" (salah) atau "perabot" merupakan satu lambang yang berfungsi kepada masyarakat kerana perkataan tersebut memberi makna. Perkataan tersebut menjadi simbol atau lambang yang kerap digunakan dalam kehidupan masyarakat. Oleh hal yang demikian, ejaan yang betul perlu digunakan kerana ejaan yang betul sangat penting dalam dunia bahasa. Hal ini demikian kerana, terdapat juga perkataan yang dieja salah memberi makna yang berbeza dari maksud yang ingin dinyatakan.

No comments:

Post a Comment