ASSALAMUALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA

Friday 29 March 2013

Masa Senggang Bersama Radio Hot FM

Assalamualaikum dan salam sejahtera...

Buat pembaca Blog semua, kali ini saya ingin berkongsi tentang masa senggang saya yang diisi dengan mendengar radio terutamanya radio HotFM. Slot yang digemari saya ialah slot panggilan hangit. Ianya amat mencuit hati saya. Kebiasaannya slot ini saya dengar pada waktu pagi. Pagi ini saya mendengar panggilan hangit yang dibuat kepada seorang perempuan tunangan orang. Perempuan tersebut dikenakan dengan panggilan hangit dari HotFM yang mana DJ radio telah mengaku skandal kepada tunangnya. Perempuan tersebut hampir menangis apabila mengetahui tunangnya berlaku curang di belakangnya. Selepas dikenakan seperti itu, DJ radio mengaku bahawa panggilan itu merupakan panggilan palsu. Permpuan tersebut tertipu.

ULASAN:
Ulasan yang boleh dibuat berdasarkan situasi di atas ialah isu gurauan. Gurauan kadang-kadang boleh diterima, namun jika ianya keterlaluan, ia seharusnya dielakkan kerana ianya mampu meleraikan hubungan yang terjalin.

Thursday 28 March 2013

Selepas Karnival

Assalamualaikum dan Salam sejahtera...

Alhamdulillah bersua kita kembali dalam perkongsian cerita...
Perkongsian hari ini adalah cerita selepas program yang berlangsung selama empat hari...
Kepenatan yang dihadapi sebelum program dan semasa program sememangnya menjadi kenangan yang terindah bagi diri saya. Hal ini demikian kerana, segala urusan yang saya laksanakan untuk program ini dipermudahkan hasil kerjasama semua pihak dan berkat dariNYA yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Sesungguhnya pengalaman itu sukar dicari dan tidak boleh dibeli dengan wang. Selepas program ini berlangsung, saya meneruskan tanggungjawab saya dengan menguruskan pekara-perkara yang belum selesai selepas mengadakan program. Alhamdulillah, kerjasama daripada semua ajk telah memudah dan mempercepatkan kerja.

ULASAN:
Berdasarkan situasi di atas, boleh disimpulkan bahawa kerjasama dalam pasukan untuk melaksanakan  sesuatu kerja sangat penting. Hal ini adalah untuk memastikan program berjalan dengan cepat dan lancar. Namun perkara di sebalik kerjasama adalah komunikasi. Jika komunikasi dalam kumpulan itu baik maka lancarlah program yang dijalankan. Oleh itu, komunikasi yang berhemah wajar diterapkan dalam diri semua orang kerana komunikasi yang baik melambangkan watak diri yang baik.

Wednesday 27 March 2013

Bahasa Jati Diri Bangsa

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pengunjung...

Bertemu kita di entry baru...
Pada ruangan kali ini saya ingin berkongsi sedikit pendapat mengenai bahasa. Pepatah mengatakan bahawa bahasa itu jiwa bangsa. Namun apa yang saya lihat kini adalah berbeza dengan maksud pepatah yang dinyatakan. Bahasa sememangnya jiwa bangsa. Namun kini, bahasa mula diperlekehkan sewenang-wenangnya oleh bangsa Melayu sendiri. Bahasa Melayu kini dipandang sebelah mata oleh masyarakat Melayu sendiri. Bukti yang jelas, masyarakat Melayu sekarang banyak menggunakan bahasa rojak dalam perbualan seharian dan juga menggunakan bahasa ringkas dalam penulisan pesanan ringkas atau seumpamanya. Hal ini membuktikan bahawa masyarakat  Melayu sendiri telah merendahkan martabat bahasa Melayu.

ULASAN:
Ulasan yang boleh dibuat berdasarkan situasi di atas ialah masyarakat Melayu seharusnya memainkan peranan penting dalam memartabatkan bahasa Melayu kerana masyarakat Melayu merupakan nadi penggerak dalam memartabatkan Bahasa Melayu.

Tuesday 26 March 2013

Hari Lahir Saya

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...
Hari ini 26 Mac 2013, genaplah 23 tahun umur saya...
Alhamdulillah diberi kesihatan yang baik pada umur ini.
Banyak ucapan yang diterima daripada kawan-kawan sama ada melalui facebook, sistem pesanan ringkas SMS, dan secara lisan. Semoga doa daripada kawan-kawan dimakbulkan. Pada malam tarikh 26 Mac, kawan-kawan datang ke rumah dengan membawa makanan kegemaranku. Aku sangat berterima kasih kepada kawan-kawanku. Tidak lupa juga, terima kasih diucapkan kepada ibuku yang telah melahirkan aku di dunia ini.

ULASAN:
Terima kasih. Perkataan yang sangat bermakna dan membuat seseorang itu berasa dihargai. Oleh hal yang demikian, setiap orang seharusnya sentiasa mengucapkan terima kasih tanpa mengira bantuan yang diterima. Hal ini demikian kerana perkataan 'terima kasih' itu mampu mengeratkan hubungan silatulrahim antara manusia.

Monday 25 March 2013

Permulaan Memartabatkan Bahasa Melayu

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...

Alhamdulillah saya berpeluang berkongsi sedikit cerita berkenaan dengan pembaca berkenaan dengan bahasa. Perkara yang difokuskan ialah memartabatkan Bahasa Melayu. Terdapat ramai pelajar yang ingin memartabatkan bahasa Melayu namun tanpa disedari, dia sendiri yang menjatuihkan bahsa Melayu itu sendiri. Sebagai contoh penggunaan perkataan "hello" apabila menyambut panggilan telefon jelas menampakkan bahasa Melayu mula diabaikan. Situasi yang ingin saya kongsikan ialah ketika mengangkat telefon terdapat daripada seorang kawan yang sangat mementingkan penggunanaan bahasa Melayu tanpa disedari telah memperlekehkan bahasa Melayu. Sebagai contoh apabila menyambut panggilan telefonnya, parkataan yang pertama keluar daripada mulutnya ialah “hello”. Tersenyum sendiri saya mendengarnya. Seorang tokoh yang beria mahu bahasa Melayu dimartabatkan telah melakukan perkara yang tidak sepatutnya. Sepatutnya beliau menjawab “apa khabar” ataupun sebagai Islam harus memberi salam. Saya tidak mahu cakap dengan lebih panjang, anda dapat menilai situasi tersebut dengan pandangan anda sendiri. Sekian saja perkongsian saya buat kali ini.
 
Ulasan:
Ulasan yang boleh dikatakan dalam situasi ini ialah jangan terlalu obses terhadap sesuatu perkara yang belum kita kuasai sepenuhnya kerana tanpa disedari ia akan memalukan diri kita sendiri. 

Sunday 24 March 2013

Penutupan Karnival

Assalamualaikum dan salam sejahtera...

Kali ini saya ingin berkongsi peristiwa pada malam penutupan karnival iaitu pada 24 mac 2013.
Pada malam itu, saya tidak diberitahu untuk naik ke pentas bagi mencabut nombor cabutan bertuah. Saya bernasib baik semasa dipanggil untuk naik ke pentas, saya berada di hadapan pentas kerana sebelum itu saya berada di tempat lain kerana menguruskan sedikit kerja. Alhamdulillah perjalanan majlis penutup program berjalan dengan lancar.

ULASAN:
Ulasan yang hendak saya nyatakan pada situasi di atas ialah ajk pelaksana perlu memaklumkan dari awal tentang perubahan perjalanan majlis kepada yang terlibat secara langsung bagi melancarkan perjalanan program.

Friday 22 March 2013

Majalah Mastika



Assalamualaikum dan selamat sejahtera...
kepada semua pebaca yang saya sayangi. Kisah yang saya ingin kongsikan pada kali ini berkaitan dengan majalah Mastika yang saya telah beli untuk dibaca. Apabila saya membuka beberapa halaman, saya mula tertarik dengan satu artikel yang bertajuk “ Ini bukan cerita politik! Cerita sedih jawi yang hampir mati…”. Dalam artikel ini, penulis menceritakan tentang keunikan yang terdapat di negeri Kelantan. Apa yang dimaksudkan itu ialah penggunaan tulisan jawi.
Setiap pandangan pasti akan terpukau dek tulisan jawi yang terpampar dan menghiasi papan tanda sepanjang jalan di negeri Kelantan. Selain itu, terdapat banyak lagi papan tanda, papan iklan, restoran, nama jalan yang semuanya dieja menggunakan tulisan jawi. Contohnya, pasaraya Tesco dieja dengan ta ya sin kaf wau. Namun, apa yang sedihnya ialah tulisan sebegini tidak boleh dijumpai di negeri-negeri lain di Malaysia.
Pada pandangan saya, penggunaan tulisan jawi semakin terhakis dan dipinggirkan oleh masyarakat di negara ini. Mereka tidak menyedari bahawa tulisan jawi adalah khazanah bangsa Melayu itu sendiri. Generasi muda sudah mula meminggirkan tulisan jawi sejak di sekolah rendah lagi. Usaha untuk memartabatkan tulisan jawi juga kurang dan hampir boleh dikata tidak dilakukan. Jadi, tidak hairanlah suatu hari nanti, khazanah Melayu ini akan hilang dimamah peredaran zaman.
Oleh sebab itu pihak kerajaan perlu melakukan sesuatu supaya tulisan asal orang Melayu ini tidak akan hilang. Seiring dengan usaha memartabatkan bahasa Melayu, tulisan jawi ini tidak harus dilupakan. Sekian saja coretan saya buat kali ini. Terima kasih kerana terus membaca.

Thursday 21 March 2013

Situasi di Hari Karnival Keusahawanan

Assalamualaikumdan Salam sejahtera...

Alhamdulillah saya berpeluang menambah entry baru pada hari ini. 
Walaupun sibuk dengan program karnival keusahawanan tetapi masih diberi ruang untuk mencoret satu cerita di ruangan ini.  Selaku Timbalan Pengarah dua untuk program ini, tanggungjawab yang perlu diuruskan agak banyak. Namun saya cuba sedaya upaya untuk menunaikan tanggungjawab yang diberi. Hari ini masalah salah faham peniaga atau penggerai memeningkan kepala saya. Penggerai yang akan berniaga pada hari karnival tidak mahu berniaga di gerai yang disediakan kerana pada pendapat mereka, tempat yang disediakan akan merugikannya. Saya cuba memujuk penggerai itu, namun tidak berjaya kerana dikalahkan oleh pengalaman penggerai itu. Saya terpaksa akur dengan permintaan penggerai itu bagi memastikan program berjalan dengan lancar tanpa ada masalah.

ULASAN: 
Ulasan yang boleh diberikan berdasarkan situasi di atas ialah pengalaman seseorang yang banyak dalam sesuatu perkara akan menjadi senjata utama dalam mempertahankan hujah. hal ini berlaku pada situasi tersebut iaitu saya sendiri terpaksa mengalah disebabkan pengalaman orang lain yang lebih mendalami tentang sesuatu ilmu.

Situasi di Karnival 2

Assalamualaikum dan Salam sejahtera...

Alhamdulillah bersua kembali di entry baru...
Satu situasi lagi berkenaan dengan hari pertama karnival keusahawanan UPSI 2013.
Kali ini berkenaan dengan salah faham peniaga dengan ajk pelaksana. Salah faham ini adalah mengenai penggunaan kupon hari karnival. Sepanjang empat hari program, pelajar UPSI amnya digalakkan membeli menggunakan kupon yang perlu ditukar dengan ajk pelaksana yang berjumlah RM10 bagi mendapatkan nombor cabutan bertuah. Kupon yang dibeli boleh digunakan selama empat hari sepanjang berlangsungnya karnival. Namun, ramai peniaga tidak mengetahui tentang hal itu. Oleh hal yang demikian, saya terpaksa berjumpa setiap penggerai di gerai masing-masing untuk memberikan pencerahan berkaitan dengan penggunaan kupon tersebut. Alhamdulillah, pencerahan dapat dilakukan dengan baik dan mendapat sambutan daripada semua penggerai.

ULASAN:
Ulasan yang boleh dibuat dalam situasi di atas ialah sebagai ajk pelaksana dalam satu-satu program, wajarlah mengetahui semua perkara iaitu awal perjalanan program hingga penutup program. Hal ini adalah untuk mengelakkan salah faham berlaku.

Wednesday 20 March 2013

Menghitung Hari

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...

Alhamdulillah bersua lagi kali ini....
Menghitung hari banyak maksud yang tersirat.
Menghitung hari Karnival Keusahawanan yang bersamaan menghitung hari kesibukan aku menguruskan program ini. Keringat yang banyak dihabiskan untuk menagih sedikit pengalaman menguruskan program. Masa sememangnya sangat cemburu akan aku. Pejam celik, pejam celik, maka esok merupakan program terbesar yang aku sertai untuk tahun ini buat masa ini.Penat ditolak ketepi kerana pengalaman yang diperoleh sememangnya tiada nilai untuk dibayar.

ULASAN:
Kesimpulan yang boleh dibuat ialah, setiap orang haruslah menghargai masa yang ada dan tidak seharusnya membiarkan masa pergi begitu sahaja tanpa mengisinya dengan perkara yang berfaedah. Hal ini demikian kerana, masa itu emas.

Tuesday 19 March 2013

Birokrasi lagi

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

Alhamdulillah saya berpeluang lagi untuk mencoretkan sesuatu hari ini...
Kepenatan melayan karenah birokrasi setiap hari dalam menguruskan program sangat memenatkan. Namun ianya tidak menghalang saya untuk menambahkan entry di ruangan ini. Hari ini sememangnya memenatkan saya. Apa tidaknya, terpaksa turun naik bangunan dalam urusan melancarkan perjalanan program yang bakal diadakan pada 21 Mac 2013. Namun, kepuasan dalam kepenatan dirasai apabila layanan yang diberikan sangat baik. Semuanya dipermudahkan. Hal ini demikian kerana, komunikasi yang berlaku dalam pengurusan hari ini berlaku dengan baik sebagai contoh, komunikasi yang mempunyai santun bahasa yang baik. 

ULASAN:
Ulasan yang boleh dibuat berdasarkan situasi di atas ialah, komunikasi yang baik akan menyebabkan seseorang berasa senang untuk bekerja. Oleh itu, komunikasi yang santun perlulah digunakan dalam semua situasi tanpa mengira pangkat dan kedudukan seseorang.

Monday 18 March 2013

Dialek Kelantan VS Johor

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera semua....
Alhamdulillah bersua kita kembali tika ini...
Kali ini saya mahu berkongsi cerita yang berlaku pada diri saya sendiri.
Cerita ini melibatkan perbualan saya dengan kawan saya. Saya berasal dari Kelantan manakala kawan saya berasal dari Johor. Perkara yang saya hendak kongsikan ialah, saya tertegur kawan saya yang bercakap perkataan "BATAK". Perkataan ini sangat sensitif jika digunakan di negeri Kelantan kerana bahasa ini dianggap kasar dan tidak sopan. Namun, bagi masyarakat Johor, perkataan "BATAK" merupakan satu perkataan yang biasa dan sering digunakan dalam kehidupan seharian mereka. Hal ini demikian kerana, perkataan "BATAK" di Johor digunakan sebagai salah satu kata penguat untuk menunjukkan sesuatu itu adalah betul-betul dan sungguh-sungguh. Contohnya, "jam ini mahal batak". Selepas pada kejadian itu, kawan saya itu akan berhati-hati untuk bercakap dan tidak lagi bercakap perkataan itu dengan saya.

ULASAN:
Kesimpulan daripada situasi di atas, ianya jelas menunjukkan bahawa perbezaan kefahaman masyarakat berlainan negeri atau kawasan terhadap satu-satu perkataan memiliki maksud yang berbeza. Jika di suatu tempat itu mempunyai maksud yang baik, namun tidak semestinya tempat lain mempunyai maksud yang baik. Oleh hal yang demikian, kita sebagai masyarakat yang berbilang bangsa seharusnya memahami dan menyesuaikan diri apabila berhadapan dengan masyarakat lain seperti kata pepatah melayu "masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak".

Sunday 17 March 2013

Salah Faham Makna Bahasa

Assalamualaikum dan Salam sejahtera...

Alhamdulillah,

Hari ini saya diberi peluang untuk berkongsi sedikit cerita mengenai salam faham makna bahasa.  Perkongsian ini dibuat setelah saya melihat sebuah filem yang dilakonkan oleh Rozita Che Wan yang bertajuk "Adik, Manja Return". Ceritanya mengisahkan suasana di sebuah Institusi Pengajian Tinggi Swasta yang semua pelajarnya ialah kaum Hawa. Cerita ini menceritakan perihal kenakalan pelajar yang memberontak dengan mengenakan pensyarah mereka dalam pelbagai caran hasil kreativiti mereka. Dalam filem ini, terdapat pelbagai bangsa seperti Melayu, Cina dan India. Namun, bukan cerita ini yang ingin saya tekankan dalam ruangan kali ini tetapi mengenai penggunaan bahasa yang digunakan. Dalam cerita ini, banyak unsur bahasa dimuatkan seperti penggunaan simpulan bahasa, pantun, kiasan, perumpamaan dan seumpamanya. Perkara yang menarik perhatian saya apabila melihat cerita ini ialah mendengarkan perbualan antara pelajar kaum Melayu dan kaum India. Salah seorang pelajar Melayu dalam filem ini sering menggunakan perumpamaan. Contoh perbualan yang digunakan ialah "nak buang air baru nak gali lubang". Pelajar India yang mendengar tidak memahami maksud yang ingin disampaikan oleh pelajar Melayu dan hanya memahami maksud tersurat iaitu buang air sedangkan maksud pelajar Melayu ialah perkara sudah berlaku baru diberitahu.

ULASAN:
Kesimpulannya, bahasa itu indah. Bahasa mencerminkan bangsa. Hal ini demikian kerana bahasa memiliki banyak maksud sama ada maksud tersirat dan maksud tersurat. Maksud-maksud yang ingin disampaikan itu bergantung kepada pendengar yang menilai maksud tersebut.

Friday 15 March 2013

Bahasa Baku

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...

Kali ini saya nak berkongsi cerita mengenai bahasa baku atau bahasa moden. Untuk pengetahuan semua, saya ialah anak jati negeri kelantan. Saya akui untuk bercakap bahasa baku agak susah jika anak jati negeri kelantan tidak terdedah dengan dunia luar termasuklah tidak menerima pendedahan dari media elektronik amnya. Dialek negeri kelantan berbeza mengikut daerah. Jika daerah berdekatan dengan bandar, dialek yang digunakan masih boleh difahami oleh masyarakat setempat. Namun, apabila daerah yang terperosok, dialeknya akan lebih pekat menyebabkan sukar untuk masyarakat setempat memahami maksud yang ingin disampaikan.Hal ini demikian kerana, masyarakat itu tidak terdedah dengan perbualan bahasa Melayu baku atau bahasa Melayu standard. Cerita yang saya  ingin kongsikan ialah kesedihan apabila melihat sahabat-sahabat yang berasal dari negeri Kelantan ditertawakan apabila sesi pembentangan. Ini menunjukkan penguasaan bahasa Melayu baku atau standard sememangnya penting apabila kita berada di tempat orang.


ULASAN: 
Berdasarkan pengalaman yang saya alami sendiri mengenai penguasaan bahasa Melayu standard, saya dapat berasakan bahawa ianya sangat penting kepada seseorang individu. Hal ini demikian kerana, penguasaan bahasa Melayu yang baik merupakan tiket kepada seseorang untuk memperoleh peluang dalam banyak perkara sama ada dalam merebut peluang pekerjaan.

Thursday 14 March 2013

Bahasa Rojak

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...

Bersua kita dengan berbicara tentang penggunaan bahasa rojak atau bahasa campuran antara Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Bahasa Melayu melambangkan jati diri masyarakat Melayu. Namun, hari ini nilai bahasa Melayu telah dipelekehkan oeh masyarakat Melayu sendiri. Buktinya, ramai tokoh-tokoh berkuasa sendiri menggunakan bahasa rojak iaitu mencampurkan penggunaan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris. Selain tokoh, aku ambil contoh terdekat, kawan aku sendiri menggunakan bahasa rojak. Perkataan 'i' dan 'you' sering kedengaran apabila dia berkata-kata.Walaupun menggunakan satu perkataan sahaja, aku amat mengambil serius tentang hal itu. Hal ini demikian kerana aku rakyat Malaysia kaum Melayu. Pada pendapat aku apabila seseorang sentiasa menggunakan sesuatu perkataan dalam kehidupan mereka, tidak mustahil perkataan-perkataan lain akan dilahirkan dari semasa ke semasa.
ULASAN : 
Ulasan yang boleh aku nyatakan di sini adalah nilai Melayu sekarang seperti berada dihujung tanduk disebabkan masyarakatnya sendiri yang mepermain-mainkan bahasa Melayu.

Tuesday 12 March 2013

Kekeliruan Bahasa Singkatan

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...

Alhamdulillah hari ini aku diberi masa dan ruang untuk mencoret sesuatu di ruangan ini.
Hari ini aku ingin berkongsi mengenai kekeliruan yang aku sendiri alami. Persoalannya apa?. Perkongsian ini adalah berkenaan dengan kekeliruan bahasa ringkasan yang digunakan oleh masyarakat sekarang dalam menghantar pesanan ringkas. Kekeliruan ini berlaku pada diriku sendiri. Apabila pensyarah aku bertanya kepadaku maksud mesej yang diterimanya. Aku tidak dapat memahaminya. Mesej tersebut tertulis, "de le, hehehe.." aku pun tidak faham apa yang dimaksudkan oleh penghantar pesanan ringkas tersebut. Selepas melihat mesej yang sebelumnya, baru aku dapat memahami maksud yang ingin disampaikan oleh penghantar pesanan itu. "de le" yang dimaksudkan oleh penghantar pesanan ringkas itu ialah "adala". Aku tergelak.

ULASAN :
Ulasan yang aku boleh buat melalui cerita yang aku alami sendiri ialah keburukan penggunaan bahasa singkatan.

Monday 11 March 2013

Bahasa Jiwa Bangsa

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera....

Terlebih dahulu aku bersyukur kerana diberi kesempatan olehNYA untuk mencoret sedikit cerita. Bahasa itu melambangkan identiti seseorang tidak kira bahasa lisan mahupun bahasa tulisan. Jika kita menuturkan bahasa yang baik, maka baiklah kita pada pandangan masyarakat manakala jika bahasa yang digunakan adalah kesat maka buruklah pandangan masyarakat kepada kita. Perkara inilah yang dikatakan bahasa jiwa bangsa. Apabila bercakap berkenaan dengan bahasa. Hari ini, aku ingin berkongsi sedikit perkara yang berkaitan dengan bahasa. Bahasa yang difokuskan ialah bahasa yang digunakan di dalam laman sosial facebook yang menjadi tempat luahan hati seseorang dewasa ini. Terdapat banyak andaian yang kita boleh buat apabila melihat status yang diposkan di laman facebook. Antaranya, kegembiraan, kesedihan, pergaduhan dan seumpamanya. Persoalannya, adakah semua pos-pos di laman facebook itu dinilai baik oleh pelawat-pelawat laman sosial ini??? Jawapan yang boleh saya berikan ialah, terpulang kepada orang yang menilainya. Hal ini demikian kerana lain orang maka lain ragam. Apa yang aku dapat nilai melalui pemerhatian aku terhadap laman sosial facebook ialah sikap anak-anak remaja yang terlalu rakus memuat naik status yang tidak sepatutnya seperti menggunakan kata-kata kasar. Antaranya ialah perkataan "gila", "abang-abang panas" dan seumpamanya. Mengeluh sendiri aku apabila melihat status sedemikian. Apa nak jadi dengan remaja sekarang?. Persoalan yang bermain di kotak fikiranku.

ULASAN:
Berdasarkan perkara di atas, dapat saya katakan bahawa dunia sekarang terlalu banyak cabarannya kepada anak-anak remaja yang sedang belajar memahami makna hidup. Aanak-anak remaja sekarang terlalu terdedah kepada era globalisasi yang mana tidak terkawal. Mereka kini tidak segan silu lagi menggunakan bahasa-bahasa yang boleh menjatuhkan maruah mereka kerana mengikutkan kata hati dan nafsu semata-mata. Oleh hal yang demikian, saya amat berharap agar ibu bapa memberi pemantauan yang sewajar kepada anak-anak agar perkara yang tidak diingini dapat dielakkan.
Sekian.
Bahasa Jiwa Bangsa
Bahasa Melambangkan Identiti Seseorang.

Saturday 9 March 2013

Karoot Komedia X live

ASSALAMUALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA

        Alhamdulillah aku diberi kesempatan untuk mengukir sedikit rahsia di sini pada hari ini. Hari ini aku telah mengikuti satu lawatan ke ASTRO untuk menyaksikan Karoot Komedia X live yang mana memberi peluang kepada aku melihat gelagat pelakon-pelakon dan pelawak-pelawak Malaysia secara langsung. Antara pelakon yang telah aku temui semasa lawatan tersebut ialah Nabil, Yus, Ebby Yus dan Jep Sepah. Apabila berada di hadapan pentas lakonan Karoot Komedia X, aku dapati suasana jelas berbeza dengan apa yang aku tonton di kaca televisyen sebelum ini. Hati berasa bertuah kerana diberi peluang melihat lakonan LIVE. Hal ini demikian kerana, ianya memberi sedikit pengalaman baru kepada aku. Sekurang-kurangnya, aku pernah menjejakkan kaki ke ASTRO. Melihat lakonan yang dipersembahkan, ianya sangat menggeletek hati aku dan semua penonton yang melihat persembahan tersebut. "Picu!", "Picu!", "Picu!"... adegan tembakan manja dalam lakonan dengan mimik muka yang sangat kelakar. Lakonan mereka seperti kanak-kanak yang sedang bermain tembak-menembak sesama sendiri. Aku sangat kagum bila melihat mereka dapat menghidupkan watak yang dibawa dengan baik. Apa yang aku dapat katakan, mereka adalah terbaik dalam dunia lakonan.

ULASAN:
Berdasarkan pengalaman saya sepanjang lawatan di ASTRO, saya fokuskan bahasa yang digunakan oleh pelakon atau pelawak semasa berada di petas lakonan. Semua dialog yang digunakan sangat menggeletek hati semua penonton tanpa mengira usia. Bahasa yang digunakan mudah difahami untuk membuat penonton ketawa tanpa. henti. Malah, perkataan yang digunakan seperti kanak-kanak. Sangat menghiburkan.Ini membuktikan bahawa bahasa itu indah.


Friday 8 March 2013

KARENAH BIROKRASI VS KESABARAN


Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Alhamdulillah hari ini aku diberi kesempatan waktu untuk berada di ruangan ini.


Hari ini banyak perkara yang berlaku dalam hidupku terutamanya bidang pengurusan. Bila bercakap mengenai bidang pengurusan, aku percaya gambaran yang akan bermain di minda blogger ialah karenah birokrasi sama ada baik mahupun sebaliknya. Penglibatan aku dalam bidang pengurusan sesuatu program di Universiti hari ini banyak memberikan pengalaman kepadaku. Pelbagai manusia yang aku jumpa dalam bidang ini. Ada yang bagus dalam menjalankan tanggungjawab dan ada yang cerewet yang menyakitkan hati aku. Namun, sepanjang penglibatan aku, Alhamdulillah semua urusanku dipermudahkan. Yang baik aku ambil yang buruk aku buang. Itulah prinsip aku.Yang penting bidang pengurusan ini sangat menguji kesabaranku. Apa tidaknya? dalam masa seminggu, setiap hari aku berurusan di tempat yang sama, sehinggakan ada staff pejabat menyuarakan " awak ni, hari-hari datang sini". Persetankan semua itu, selagi kerja aku tak selesai, aku akan terus ke tempat itu bagi menyelesaikan kerjaku. Hal ini jelas menunjukkan bahawa pengurusan tersebut membuat aku menjadi sabar dalam berhadapan dengan orang ramai kerana dalam pengurusan itu, bukan seorang sahaja yang aku berinteraksi tetapi berpuluh orang. Macam-macam ragam manusia dapat aku ketahui. Alhamdulillah semuanya dipermudahkan kerana kesabaran.

ULASAN:
Bidang pengurusan merupakan bidang yang melibatkan ramai manusia. Ini bermakna seseorang yang terlibat dalam bidang pengurusan akan berhadapan dengan pelbagai ragam manusia sama ada yang baik mahupun sebaliknya. Namun begitu, untuk mengatasi pelbagai masalah dalam sesuatu bidang terutamanya bidang pengurusan, kesabaran adalah sangat penting disemai dalam jiwa. Hal ini sekali gus akan mewujudkan suasana yang harmoni dan dipermudahkan segala urusan tersebut.

Thursday 7 March 2013

KESALAHAN PERKATAAN




Assalamualaikum dan salam sejahtera blogger yang setia di ruangan ini.

Di sini saya ingin berkongsi satu perkara yang sepatutnya tidak harus berlaku tetapi telah berlaku. Perkara yang saya maksudkan adalah kesalahan ejaan pada banner dan pada beg saguhati. Perkataan yang terlibat iaitu “setiakawan”.

Perkaaan tersebut sepatutnya tidak dieja rapat kerana perkataan majmuk tersebut  bukanlah satu kata majmuk yang mantap dan perkataan tersebut tidak tergolong dalam 15 ejaan kata majmuk yang telah mantap seperti yang tercatat dalam Tatabahasa Dewan. Perkataan yang betul harus la dieja jarak “setia kawan”.

Ejaan yang betul tertulis pada beg saguhati. Saya tertanya-tanya bagaimana kesalahan tersebut boleh berlaku pada seminar pada peringkat antarabangsa. Acara tersebut dianjurkan oleh Gabungan Penulis Nasionnal (GAPENA) yang ahlinya terdiri daripada golongan bijak pandai dan pakar bahasa tetapi masih lagi berlaku kecuaian yang tidak sepatutnya.

 Satu lagi kesalahan yang dapat saya kesan adalah ejaan “patriotime” yang ejaan sebenarnya ialah “patriotisme”. Kesalahan ini jelas terpampang di banner tersebut dan tiada siapa pun yang menegur kesalahan tersebut. Semua sedang sibuk memperdebatkan bagaimana mahu memartabatkan bahasa Melayu sedang kesalahan yang mereka lakukan tidak mereka perasankan.

Ibarat kuman di seberang laut kita nampak, gajah di depan mata kita tidak nampak. Bagi saya, tokoh-tokoh semua harus catna dengan semua benda berkaitan bahasa, bukan hanya tahu berkata-kata tetapi prihatin dan pandanglah dahulu sekeliling mereka sebelum mahu memperelokkan perkara yang besar-besar. Sekian sahaja prkongsian saya buat kali ini. Semoga anda semua berpuas hati. Terima kasih kerana terus membaca.

Tuesday 5 March 2013

BAHASA MELAMBANGKAN PERSONALITI

 


Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada blogger.

 Situasi yang saya ingin saya kongsikan pada kali ini adalah pada suatu pagi saya mula membuka komputer riba untuk mencari sedikit maklumat tentang tugasan yang telah diberikan oleh pensyarah. Sambil saya melayari internet, saya turut membuka laman ‘Facebook’ milik saya.

Semasa memerhatikan setiap status yang dikemas kini oleh rakan-rakan saya, mata saya terpandang kepada satu status yang agak kasar yang tertulis “ WTF dude ?” . Status tersebut telah ditulis oleh seorang perempuan melayu yang saya kenal. Agak kenapalah kawan wanita saya menulis perkara yang kasar bertanya saya dalam hati saya? Tidak bolehkah disimpan sahaja di dalam hati ataupun diluahkan saja tanpa perlu ditulis.

Pada pandangan saya, gadis tersebut tidak seharusnya berkata sedemikian kerana kata-kata itu mempunyai makna yang kurang baik iaitu ‘what the fuck’.  Dalam masyarakat melayu, perkataan itu merupakan satu kata kesat yang akan menyakitkan hati orang yang mendengarnya atau melihatnya. Justeru, kita seharusnya bersabar dan berjaga-jaga dalam melakukan apa-apa tindakan walaupun dalam keadaan yang marah. Kita harus peka dengan sensitivity masyarakat di Malaysia.

Situasi ini juga akan membuatkan masyarakat mula memandang rendah terhadap diri kita kerana kurangnya adab dan santun dalam berbahasa. Lebih-lebih lagi yang mengeluarkan perkataan tersebut daripada seorang wanita Melayu yang terkenal dengan budi bahasa dan sopan santunnya. Hal ini secara tidak langsung telah mencalarkan imej tersebut.

Diharap kepada pembaca tidaklah melakukan perkara seperti di atas demi menjaga meruah bangsa kita. Semoga kit dapat memuhasabah diri kita semua. Sekian sahaja tuisan saya buat kali ini. Terima kasih kerana setia membaca hingga ke akhirnya.